Wings kekalkan tradisi keluar album fizikal, mahu peminat jadikan sebagai koleksi istimewa

JIKA kebanyakan penyanyi lebih menumpukan terhadap pengeluaran album digital, berlainan pula buat kumpulan rock legenda negara, Wings yang masih berminat mengeluarkan album berbentuk fizikal.

Menurut vokalisnya, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 53, mereka dalam fasa mencari material untuk lagu-lagu dalam album terbaharu yang berkemungkinan besar diIancarkan pada tahun ini juga.

“Sekarang dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) memang kami semua tengah berehat sekejap.

“Kami masih lagi dalam proses untuk mengumpul material terbaik untuk lagu-lagu yang akan dimuatkan ke dalam album baharu nanti. Setakat ini, kami dah siapkan enam lagu, tinggal lagi empat lagu untuk dirakamkan.

“Kami memang dah rancang nak terbitkan album baharu itu dalam tahun ini juga tapi tak tahu lagi bila ia akan diIancarkan memandangkan keadaan negara yang masih terikat dengan PKP,” katanya.

Selain Awie, Wings yang popular dengan lagu Sejati dan Opera Hidup itu turut dianggotai Edrie Hashim selaku gitar utama, Black (pemain dram), Eddie (gitar bass) dan Syam (gitar utama).

Wings lebih suka keluar album fizikal.

Album studio ke-13 Wings itu nanti juga akan dihasilkan dalam bentuk fizikal agar ia boleh dijadikan sebagai kenang-kenangan buat peminat setia mereka.

“Kami sebenarnya nak galakkan peminat beli album sebab zaman sekarang susah kita nak tengok seseorang artis itu keluarkan album fizikal.

“Jadikan album fizikal ini sebagai collectors item, kalau kita download daripada aplikasi penstriman muzik, kita tak dapat pegang album itu.

“Sekurang-kurangnya dengan album fizikal, peminat akan ada sesuatu yang boleh dijadikan kenangan dan koleksi buat mereka,” katanya.

Menurut Awie lagi, selain penjualan album fizikal, mereka juga akan mengeluarkan merchandise edisi terhad kumpulan itu bagi meraikan kegemilangan Wings selama lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri seni.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *