Sepatutnya Dah Balik Beraya Di Malaysia, Tapi Luqman Buat Keputusan Yang Tak Semua Orang Boleh Buat

Kuala Lumpur: Beraya di perantauan sememangnya menggamit kerinduan yang menebal apatah lagi terpaksa berjauhan beribu batu daripada keluarga tersayang, namun demi menggalas tugas bersama negara perasaan itu terpaksa dikorban oleh Luqman Hakim Shamsudin.

Luqman, 19, yang kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) akan terus terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei ini bagi menyertai skuad Harimau Malaya di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mahu bersedia lebih awal di Belgium untuk membantu pasukan kebangsaan.

Katanya, dia sepatutnya pulang ke Malaysia pada 30 April lalu selepas saingan Liga Belgium berakhir bulan lalu namun atas kesedaran untuk membantu negara di pusingan kelayakan itu dia membatalkan hasrat untuk pulang.

Bagaimanapun, Luqman mengakui rindu untuk merasai suasana beraya bersama keluarga lebih-lebih lagi menjamah menu wajib hasil air tangan ibunya, Hasmah Che Som iaitu rendang ayam.

“Paling saya rindu masakan rendang mak saya…rendang mak saya buat sedap. Tapi itulah ini pengorbanan saya, ini permulaan untuk saya merasai pengalaman beraya di tempat orang.

“Tapi itu bukan masalah buat saya kerana dekat sini saya boleh beraya dengan keluarga Malaysia dan boleh juga makan menu wajib Hari Raya. Ia juga boleh ubati rasa rindu saya di keluarga.

“Mak saya cakap itu yang awak nak (main bola), mak selalu sokong dan suruh tak payah balik lah adik. Duduk sana cari duit, cari pengalaman yang baru dan nanti-nanti boleh balik.

“InsyaAllah, panjang umur nanti kita boleh balik, lagipun sekarang ada teknologi saya buat panggilan video dah boleh lepas rindu.,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya lagi, ibunya turut memberi sokongan dan dorongan supaya dia kekal fokus berlatih di sana sebelum menyertai skuad Harimau Malaya nanti.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur rezeki saya (terpilih menyertai skuad negara), tuhan bagi untuk kali ini. Kita bermain untuk Malaysia, kita kena buat persediaan 100 peratus. Saya rasa berbangga juga dan terima kasih kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana memilih saya.

“Saya tak balik Malaysia ini sebab saya nak fokus. Saya nak fokus untuk bermain Malaysia, kalau nak ikutkan saya dah boleh balik 30 April lalu.

“Kalau ikutkan sempatlah beraya dengan keluarga, tapi saya fikir saya bermain untuk Malaysia jadi saya nak lakukan persediaan untuk Malaysia, ini tujuan utama saya,” katanya yang terus menjalani latihan bersama KVK untuk persiapan musim baharu Liga Belgium.

Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia akan turun berdepan UAE pada 3 Jun ini diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) untuk memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia dan peringkat ke tiga Kelayakan Piala Dunia.

Di kesempatan sambutan Aidilfitri ini, Luqman turut memohon keampunan dan mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua yang mengenali dirinya.

“Saya nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada ibu saya Hasmah Che Soh, ayah saya Shamsudin Mahmud, kakak saya, abang saya dan kawan-kawan di Malaysia.

“Walaupun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya harap anda semua duduk kat rumah dan paling penting dengar arahan daripada kerajaan. Bila semua dah ‘OK’ balik, semua dah boleh berapa…rayakan sebulan dan doakan yang baik-baik, InsyaAllah,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *