Cukup La Nak Beli Belah, Bukannya Nak Bercuti Dalam Mall -“Maksimum Tempoh Beli Belah Dihadkan Dua Jam”

PUTRAJAYA: Tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuatkuasa Selasa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

Beliau berkata, pemilik perniagaan juga perlu memastikan kapasiti pekerja dihadkan bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

“Mana-mana premis peruncitan termasuk pusat beli belah yang tersenarai bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup serta merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Alexander berkata, kementerian itu akan menguatkuasa SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran, bermula Selasa ini, susulan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan COVID-19 bagi memperketatkan pelaksanaan PKP 3.0.

Katanya, waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Beliau berkata, pengecualian hanya membabitkan farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, pusat kesihatan (wellness) dan perkhidmatan perapian diri ‘manicure’ dan ‘pedicure’) dikekalkan antara jam 8 pagi sehingga 10 malam.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penambahan SOP terhadap sektor ekonomi dalam pelaksanaan PKP 3.0.

Pelaksanaan PKP 3.0 itu dengan mengenakan sekatan tambahan dan pada masa sama masih membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi bagi menangani situasi terkini kes C0VID-19 yang semakin membimbangkan dan penularan dalam komuniti semakin tinggi di seluruh negara.

Alexander berkata, langkah diadakan kerajaan itu yang terbaik untuk mengimbangi antara keperluan mengawal penularan C0VID-19 dan kelangsungan ekonomi negara terutamanya kedudukan ekonomi domestik.

Katanya, bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP termasuk pekerja dan juga pelanggan.

“Pemilik premis perniagaan juga perlu sentiasa proaktif, peka dalam memastikan pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara.

“KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada MKN untuk menutup serta merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP.

“Kementerian juga berharap langkah mengenakan sekatan tambahan ini akan mendapat kerjasama daripada semua pemain industri bagi memastikan hasrat kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai kecuali untuk tujuan penting sahaja,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber: BeritaHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *