Baru 21 Tahun, Calon Termuda PH Di PRN Melaka Ini Curi Tumpuan – “Usia Bukan Penghalang”

Baru berusia 21 tahun, nama Farzana Hayani Mohd Nasir mencuri tumpuan ramai apabila beliau menjadi calon paling muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Farzana yang merupakan Ketua Srikandi Keadilan Melaka ini bakal bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai.

Calon paling muda

Menerusi pemerhatian pihak OhBulan! Farzana merupakan pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau. Beliau juga merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam dan dipercayai masih menuntut di universiti tersebut. Farzana bakal berdepan dengan tiga orang lagi calon iaitu Muhammad Jefri Safry (Perikatan Nasional), Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (UMNO).

Usia bukan faktor utama untuk menjadi wakil rakyat, apa lebih penting berupaya memahami masalah dan berusaha selesaikannya. Saya percaya pengundi akan menilai berdasarkan tekad dan kesungguhan membantu rakyat dan membawa perubahan.

Menerusi laporan Berita Harian, Farzana memberitahu bahawa usia bukan faktor utama untuk beliau menjadi wakil rakyat. Apa yang lebih penting baginya adalah keupayaan memahami masalah rakyat di kawasan Sungai Rambai dan berusaha menyelesaikannya. Sebagai mahasiswa, beliau akan memberikan tumpuan kepada pembangunan generasi muda dalam bidang pendidikan kerana masalah liputan internet di DUN Sungai Rambai menyukarkan golongan muda yang kini bergantung sepenuhnya kepada kemudahan teknologi itu untuk belajar dan bekerja.

Saya mahu meluaskan lagi liputan internet di DUN Sungai Rambai. Ia kini menjadi antara keperluan penting dalam kehidupan masyarakat. Bukan saja pendidikan, malah saya akan memperkasakan sektor keusahawanan wanita di Sungai Rambai.

Ready for PRN!

Semalam, Farzana dilihat hadir ke tempat penamaan calon bersama keluarga dan rakan-rakannya. Lebih mencuri tumpuan, kelibat pelakon kacak, Hans Isaac turut bersamanya ketika melakukan kempen di kawasan Sungai Rambai. Di samping itu, Farzana sempat meluangkan masa bersama para peniaga di pasar malam kawasan tersebut. Ujar Farzana, beliau amat gembira melihat para peniaga dapat kembali berniaga dan bantu tingkatkan pendapatan warga tempatan.

Farzana antara 11 calon daripada PKR

Sebelum ini, DUN Sungai Rambai dimenangi oleh calon BN, Hasan Abd Rahman pada PRU-14 dengan mengaut 5,088 undi menewaskan calon PKR, Azalina Abdul Rahman dan Zakariya Kasnin (Pas) dengan masing-masing mendapat 3,419 dan 1,405 undi. Farzana antara 11 calon daripada PKR yang akan bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini selain sembilan daripada Amanah dan lapan calon diwakili DAP.

Untuk info tambahan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru atau lebih di kesemua 28 kerusi yang dipertandingkan sekiranya calon disenarai diterima bertanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Isnin nanti.

Sumber: Farzana Hayani

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Metro Press

Sumber : obulan

Leave a Reply

Your email address will not be published.